Saturday, 17 October 2015

PENJELASAN ULAMA FEQAH TENTANG BID'AH


Penjelasan Ulamak Fekah Tentang Bid’ah
Disusun oleh al-Quraisy

Berkata Imam Syafie, “Bid’ah itu dua, iaitu mahmudah (dipuji) dan mazmumah (dicela). Maka apa-apa yang sesuai dengan sunah itulah yang dipuji, dan apa-apa yang bertentangan dengan sunah itulah yang dicela.” “Perkara yang direka ada dua bahagian. Pertama, perkara yang menyalahi Quran, as-Sunah, atsar, dan ijmak maka itulah bid’ah dhalalah (sesat). Kedua, perkara kebajikan yang tidak menyalahi kesemuanya itu, maka ianya perkara yang tidak tercela (muhdatsatun ghairu mazmumah).”

Penjelasan Imam Syafie ini dikuatkan oleh beberapa ulamak usul fiqh dan hadis mazhab Syafie, antaranya Imam Abu Syamah dan Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani. Mereka berpendapat bahawa bid’ah terbahagi kepada dua bahagian; mahmudah dan mazmumah, atau dengan kata lain bid’ah hasanah dan sayyiat. Ini kerana mereka memandang bahawa sesuatu yang diada-adakan selepas kewafatan Rasulullah, samada ianya berdalil ataupun tidak. Berdalil dinamakan bid’ah hasanah dan yang tidak berdalil pula dinamakan bid’ah sayyiat.

Kemudian Imam ‘Izzuddin Abdussalam, seorang alim usul fiqh mazhab Syafie, mengemukakan suatu takrif lain bagi bid’ah dan memberi penjelasannya, “Adapun bid’ah itu, suatu amalan/perkara yang tidak wujud pada zaman Rasulullah s.a.w.. Ianya terbahagi kepada bid’ah; wajib, haram, sunat, makruh, dan harus (dibolehkan). Jika bid’ah itu termasuk dalam kaedah wajib, maka itulah bid’ah yang diwajibkan, dan jika termasuk dalam kaedah tahrim, maka itulah bid’ah yang diharamkan…(begitulah seterusnya).”

Dengan penjelasan ini, dikatakan bid’ah itu dipecahkan menjadi lima bahagian dengan disesuaikan dengan kaedah-kaedah umum syarak iaitu wajib, haram, sunat, makruh, dan mubah.

Imam ‘Izzuddin memberikan penjelasannya berdasarkan perkataan Imam Syafie yakni bid’ah mahmudah dan mazmumah. Bermaksud, perkara yang diada-adakan (muhdatsatun) selepas kewafatan Rasulullah yang sejajar dengan sunah, inilah bid’ah mahmudah, adapun perkara muhdats yang menyalahi sunah, maka itulah bid’ah mazmumah. Dengan kata mudah, segala sesuatu yang muhdats selepas kewafatan Rasulullah dengan berdalil, maka inilah bid’ah yang tidak tercela.

Pembahagian bid’ah oleh sebahagian ulamak mutaakhirin dengan ‘segala perkara yang diada-adakan selepas kewafatan Rasulullah samada berdalil ataupun tidak, dinamakan bid’ah.’ Yang ada dalilnya dipanggil “bid’ah hasanah” yang tidak berdalil dipanggil “bid’ah sayyiat” atau “bid’ah qabihah”. Kemudian mereka merumuskan menjadi lima bahagian seperti yang telah disebutkan.

Akan tetapi, pembahagian bid’ah mengikut kaedah hukum syarak ini dibantah oleh Imam Syatibi, “Sesungguhnya pembahagian ini, suatu perkara yang direka, tidak ada dalil syarak tentangnya, kerana hakikat bid’ah itu adalah suatu yang tidak berdalil, baik dari nas-nas syarak mahupun melalui kaedah-kaedahnya. Sekiranya ada dalil yang menunjukkan wajib, sunat atau harus sesuatu perkara/amal, maka ianya bukanlah bid’ah,  bahkan perkara itu termasuk dalam amalan yang diperintah atau diharuskan. Oleh sebab itu, perkara bid’ah dan perkara yang berdalil tentang wajib, sunat dan harusnya sesuatu amal itu, adalah suatu bahagian yang berbeza.”

Jelasnya, pembahagian bid’ah menjadi lima sebagaimana hukum, tidak ada dalil sedikit pun dari syarak, bahkan dalam pembahagian itu sendiri sudah bertentangan. Ini kerana, kalaulah bid’ah dalam agama itu seperti hukum syarak maka bererti bid’ah itu mempunyai ketentuan hukum, sedangkan sesuatu yang mempunyai ketentuan hukum bukan lagi dinamakan bid’ah kerana bid’ah itu sendiri suatu amal agama yang tidak ada dalilnya, tidak ada ketentuan hukumnya dan tidak ada keterangannya baik dari nas syarak mahupun dari kaedahnya.

Jadi menurut Imam Syatibi, membahagikan bid’ah menjadi lima bahagian itu tidaklah sesuai dan bertentangan dengan hukum syarak, kerana kaedah-kaedah hukum syarak sudah ditentukan, adapun kaedah mengenai bid’ah adalah suatu hal yang lain pula.

Manakah yang benar antara pendapat dan penjelasan daripada dua orang ulamak besar ini? Bagi kita, hendaklah diketahui terlebih dahulu dimanakah kedudukan bid’ah itu sendiri. Sedang kedudukannya adalah perkara yang jelas, bahawa bid’ah itu di sisi ulamak yang membahagikannya ataupun tidak adalah sama. Misalnya, Imam Abu Syamah dan Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani, keduanya termasuk dalam kategori ulamak yang membahagikan bid’ah telah mentakrifkan dengan tegas maksud “bid’ah dalam agama”.

Imam Abu Syamah berkata, “Iaitu perkara yang tidak pernah wujud pada zaman Rasulullah, baik berupa pekerjaan ataupun yang diakui kebenarannya, juga sesuatu yang diketahui dari kaedah-kaedah syariatnya.”

Imam Ibnu Hajar berkata, “Iaitu sesuatu yang diada-adakan padahal tidak ada asalnya dalam syarak. Adapun yang berdalil dari syarak, maka itu bukanlah bid’ah, kerana bid’ah menurut takrif syarak adalah tercela.”

Kesimpulannya, dua golongan tadi pada hakikatnya telah sepakat menetapkan bahawa segala macam bid’ah yang mana berlakunya sesudah ketiadaan Nabi s.a.w., tidak ada dalil dari nas-nas syarak dan tidak termasuk dalam kaedah-kaedah syarak, itulah bid’ah yang tercela dan sesat. Mereka hanya berselisih dalam memberikan penjelasan sahaja, terbukti apabila ulamak yang membahagikan bid’ah, menolak sebarang ibadat yang tidak ada contohnya daripada Rasulullah dan sahabat baginda dengan menamakannya, “bid’ah munkarah”, “bid’ah qabihah” atau “bid’ah sayyiat”.

Wallahuaklam.

No comments:

Post a Comment