Saturday, 17 October 2015

BID'AH AQIDAH MENURUT IMAM SYAFI'E

BID'AH AKIDAH MENURUT IMAM AS-SYAFIE

Sebenarnya bid'ah yang diperkatakan oleh Imam as-Syafie bukan hanya di segi feqhiyah, tetapi merangkumi juga persoalan yang lebih besar, iaitu bid'ah akidah yang menyentuh persoalan syirik besar dan kecil atau tentang sah dan batalnya akidah seseorang yang mengaku sebagai seorang mukmin. Contohnya, Imam as-Syafie menolak fahaman (akidah) firqah-firqah bid'ah seperti Syiah, Khawarij, Qadariyah dan yang lainnya sebagaimana yang diriwayatkan dari para ulamak as-Syafie:

1 - Sebagaimana yang ditakhrij oleh al-Baihaqi sebagai qaul yang sahih dari Rabi' bin Sulaiman dari Imam as-Syafie bahawa:

'Imam as-Syafie telah melarang bersolat di belakang orang yang berfahaman (berakidah) Qadariyah".[34]

Larangan Imam as-Syafie ini lantaran firqah Qadariyah telah bid'ah akidahnya dan disepakati oleh para ulama salaf sebagai golongan yang sesat.

2 - Dari al-Lalakaii dari al-Muzani berkata:

"Tahukah kamu siapakah yang termasuk dalam golongan Qadariyah? Dia adalah orang-orang yang mengatakan bahawa Allah tidak menciptakan sesuatu sehingga sesuatu amal tersebut dikerjakan".[35]

Dan menurut al-Baihaqi lagi bahawa Imam as-Syafie telah berkata:

"Qadariyah ialah mereka yang telah digambarkan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam sebagai orang-orang Majusi ummat ini".[36]

Wasiat Imam as-Syafie ini menunjukkan bahawa beliau menentang semua golongan yang terkeluar dari akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah. Qadariyah ternyata telah terkeluar dari akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah.

3 - Imam Syafie berkata tentang Syiah:

"Belum pernah aku saksikan di kalangan manapun manusia yang begitu berani menjadi pendusta dan sebagai saksi-saksi palsu (bohong) seperti golongan Syiah".[37]

Dari kenyataan Imam as-Syafie di atas, sudah jelas bahawa akidah Imam as-Syafie adalah akidah yang di pegang oleh golongan Ahli Sunnah wal-Jamaah yang mendasari manhaj Salaf as-Soleh. Beliau ternyata adalah seorang ulama besar dibidang fikeh dan akidah.

TAUHID MENURUT IMAM AS-SYAFIE
Dalam memperkatakan tauhid asma' (nama-nama Allah) was-sifat wa-zat (sifat-sifat dan zat Allah), tauhid uluhiyah serta tauhid rububiyah, maka Imam as-Syafie dianggap seorang Imam Besar Salafi yang menegah (mengharamkan) takwil, takyif, tasybih dan ta'til terhadap sifat dan zat Allah ‘Azza wa-Jalla. Sebagaimana yang dapat difahami dari riwayat Abu Talib Al-'Usayri beliau berkata: Imam as-Syafie pernah ditanya berkenaan sifat-sifat Allah 'Azza wa-Jalla dan beriman dengannya, beliau (Imam as-Syafie) menerangkan:

"Allah Tabaraka wa-Ta'ala memiliki asma' (nama-nama) dan sifat-sifat yang telah disebutkan oleh KitabNya (al-Quran) dan dikhabarkan oleh NabiNya sallallahu 'alaihi wa-sallam (hadith-hadith) kepada umatnya, yang tidak boleh diingkari oleh sesiapa pun dari makhlukNya kerana telah sampai kepadanya dalil bahawa al-Quran turun membawa keterangan tentangnya. Begitu juga diriwayatkan tentangnya dengan perawi yang thiqah (dipercayai)". [38]

Dalam menjelaskan Tauhid Uluhiyah, sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dari Abu Muhammad az-Zubiri bahawa Imam as-Syafie berkata:

"Adapun kewajipan yang berupa beriman kepada Allah yang berupa (kerja) hati, ialah mengakui dan mengetahui dengan penuh keyakinan, redha dan berserah bahawa tiada Ilah (yang berhak diibadahi) selain Allah, tidak ada sekutu bagiNya, tidak mempunyai isteri dan anak, dan mengakui bahawa Muhammad adalah hambaNya dan RasulNya".[39]

Apabila memperkatakan tentang tauhid rububiyah, Imam as-Syafie membawakan dalil melalui firman Allah:

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih berganti malam dan siang........". Maka dijelaskan oleh Imam as-Syafie: "Maka jadikanlah makhluk ciptaan Allah sebagai dalil akan adanya pencipta, janganlah menyusahkan dirimu dengan sesuatu yang tidak dapat dijangkau oleh akalmu".[40]

Antara maksud yang dapat difahami dari penjelasan Imam as-Syafie ini bahawa beliau melarang mencabuli wahyu Allah dengan hawa nafsu atau akal jika sesuatu persoalan yang dikhabarkan oleh wahyu itu berupa persoalan akidah yang tidak mampu dijangkau oleh akal fikiran manusia.

Malangnya para pengikut yang mendakwa diri mereka bermazhab as-Syafie mengenepikan wasiat Imam as-Syafie ini. Mereka mengambil akal (falsafah) sebagai landasan untuk mengenal Allah, agama dan iman. Mereka berakidah dengan akidah kaum Muktazili falsafi, al-Maturidiyah (sifat 20) atau sufi falsafi, bukan akidah yang dianut oleh Imam as-Syafie yang berpegang kepada akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh.

AKIDAH PARA ULAMA AS-SYAFI’EYAH
Di dalam sebuah kitab berbahasa Arab yang memperkatakan akidah kalangan ulama as-Syafie iaitu kitab (بيان الشرك ووسائله عند علماء الشافعية), dibawakan fatwa-fatwa dari beberapa orang ulama as-Syafieyah tentang kesyirikan dan dosa-dosa besar yang bersangkutan dengan persoalan syirik, terutamanya yang berkaitan dengan syirik akbar (syirik besar). Antara contoh-contoh dari fatwa tersebut:

Telah berkata Ibn Hajar al-Haitami rahimahullah tentang kuburi (قُبُرِيٌّ). Erti dan maksud kuburi ialah: "Orang yang suka memuliakan, mencintai atau menyembah kubur atau juga yang berkaitan dengan pemujaan orang di dalam kubur (orang mati)":

"Maka sesungguhnya antara perkara-perkara yang paling besar diharamkan dan penyebab berlakunya perbuatan syirik (menyekutukan Allah Ta’ala) ialah bersembahyang di sisi kuburan dan menjadikannya masjid atau membina masjid (atau binaan) di atas perkuburan".

Fatwa ulama di atas adalah berdasarkan hadith Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

"Janganlah kamu solat menghadap ke kuburan (atau di kuburan) dan janganlah kamu duduk di atasnya".[41]

Hadith sahih di atas ini dengan jelas melarang seseorang itu duduk di atas kubur, sembahyang di kuburan atau di masjid yang dibina di atas kawasan perkuburan, tetapi berapa ramaikah mereka yang mendakwa dari mereka bermazhab Syafie melanggar wasiat Imam as-Syafie dan para ulama as-Syafieyah? Malah ada dari kalangan mereka membina binaan di atas kubur dan menyediakan tikar di samping kubur sambil membaca doa atau al-Quran untuk si mati. Bukankah ini bertentangan dengan hadith sahih dan wasiat Imam as-Syafie serta para ulama muktabar Syafieyah?.

"Dari Abi Sa'id al-Khudri radhiallahu ‘anhu berkata: Telah bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam: Bumi ini semuanya tempat sujud (masjid) kecuali kuburan dan tandas".[42]

Hadith ini dengan terang dan tegas melarang (mengharamkan) orang yang beriman dari bersembahyang di kuburan, di dalam masjid yang dibina di atas tanah perkuburan atau masjid yang di dalamnya terdapat kubur. Hadith ini dan wasiat Imam as-Syafie yang berpandukan hadith ini tidak diperdulikan dan dilanggar oleh sebahagian besar mereka yang mengakui bermazhab as-Syafie sebagaimana yang banyak terdapat di Tanah Melayu pelanggaran wasiat Imam as-Syafie ini. Sebagaimana juga terdapat larangannya di dalam sebuah sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

"Dari Anas radhiallahu ‘anhu: Bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam melarang bersolat di antara kubur-kubur".[43]

Malangnya ramai dari kalangan mereka yang mengatakan bermazhab Syafie masih mendirikan solat di kawasan perkuburan, terutamanya di masjid-masjid yang dibina di kawasan perkuburan, d imasjid yang ada kubur di dalamnya dan sembahyang di bangunan kuburan yang dianggap kubur orang suci, orang keramat atau wali Allah. Perbuatan seperti ini amat bertentangan dengan hadith-hadith sahih, bertentangan dengan fatwa Imam Syafie rahimahullah dan para ulama Syafieyah.

Seterusnya al-‘Allamah Ibn Hajar al-Haitami rahimahullah menjelaskan:

"Dilaknat pembuatnya (orang yang bersolat, membina masjid atau binaan di kuburan), wajib bersegera merobohkannya dan merobohkan kubbah yang dibina di atas kubur kerana membinanya lebih bahaya dari masjid ad-Dirar yang dibina kerana bermaksiat terhadap Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam, yang mana baginda telah melarang dari melakukan yang demikian".

Imam an-Nawawi rahimahullah juga telah berfatwa tentang perkara yang berkiatan dengan kuburi:

"Tidak dibolehkan bertawaf di kubur Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam, dilarang melekatkan perut dan dada ke dinding kubur. Abu 'Ubaidillah al-Hulaimi dan selainnya yang mana mereka semua menjelaskan fatwa Imam as-Syafie: Dibenci menyapu dengan tangan dan mengucup kubur Nabi".

Berkata Imam al-Bagawi rahimahullah:

"Dilarang dari meletak payung di atas kubur kerana 'Umar radhiallahu 'anhu berkata: Biarkanlah amalnya memayungkannya".

Ibn Hajar di dalam kitabnya (المنهاج) telah menjelaskan fatwa Imam as-Syafie:

"Dibenci mengapur, membina dan menulis tulisan di atas kubur, sama ada menulis namanya di atas batu di sebelah kepalanya atau di tempat-tempat yang lainnya".

Fatwa Imam as-Syafie berdasarkan hadith:

"Dari Jabir radhiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam telah melarang kuburan dikapur, diduduki atasnya, didirikan bangunan di atasnya, ditambah atau ditulis di atasnya".[44]

Dengan berpandukan kepada hadith di atas, adalah haram mengecat, mengapur, duduk di atas kubur, mendirikan bangunan, membuat batas (meninggikan batas di sekeliling kubur) kemudian menulis ayat al-Quran, nama atau apa sahaja di atas kubur. Malangnya terlalu ramai penganut mazhab as-Syafie melanggar larangan ini. Mereka meletak payang di atas kubur, menulis nama si mati di atas kuburnya, menulia ayat al-Quran (surah al-Fatihah) membina batas di sekeliling kubur dan membina binaan jika dianggap si mati itu orang yang dimuliakan atau keramat. Seolah-olah hadith sahih dan fatwa Imam as-Syafie tidak ada erti bagi mereka. Apakah orang-orang yang seperti ini dinamakan orang yang beriman?

PERBUATAN SYIRIK

Imam as-Syafie juga telah menjelaskan perkara-perkara yang boleh membawa kepada syirik besar dan syirik kecil yang membatalkan akidah seseorang. Antaranya ialah menyeru, meminta perlindungan (pertolongan), sujud, ruku', bernazar dan berkorban (menyembelih) selain untuk Allah. 

Begitu juga seseorang itu ditegah dari mempercayai bahawa selain Allah ada yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib. Ditegah bersumpah dengan selain nama Allah dan melafazkan perkataan: "Dengan kehendak Allah dan kehendak engkau" dan percaya dengan kuasa sihir dan percaya bahawa zat sihir atau ilmu hitam boleh memberi kesan.

FIQH AS-SYAFI’E

Ada beberapa (malah banyak yang berlainan) berbeza antara kenyataan amalan fikeh Imam as-Syafie dengan mereka yang mendakwa dirinya bermazhab as-Syafie. Antara contoh-contohnya ialah:

Solat Hari Raya. Telah berkata Imam as-Syafie sebagaimana yang terdapat di dalam Kitab al-Umm:

"Telah sampai (hadith) kepada kami bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam keluar di dua Hari Raya ke musalla (tanah lapang) di Madinah, begitu juga mereka yang sesudah baginda".[45]

Jika terdapat keuzuran seperti hujan atau selainnya diperintahkan oleh baginda agar bersolat di masjid dan tidak keluar ke tanah lapang".[46]

Ada kalangan yang berdegil bersolat di masjid kerana kononnya beralasan dengan perintah 'Umar:

"Wahai manusia! Sesungguhnya Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam keluar bersama manusa ke tanah lapang kerana tanah lapang lebih memudahkan mereka dan lapang bagi mereka. Sesungguhnya masjid pada ketika itu tidak dapat memuatkan mereka".

Hadith di atas telah dianggap sebagai hadis lemah oleh Imam as-Syafie.[47] Berkata Imam Bukhari bahawa hadth ini mungkar dan kedudukan hadith ini sangat lemah. [48]

"Sebagaimana menjadi mazhab jumhur ulama atas afdhalnya bersolat di tanah lapang, dan telah ditegaskan oleh Imam Syafie rahimahulla atas tentang makruhnya bersembahyang di masjid terutama jika dalam keadaan sesak". [49]

Dari apa yang telah dihuraikan, jelaslah bagi kita bahawa Imam as-Syafie rahimahullah adalah seorang ulama besar yang amat berjasa kepada ummah sejak zamannya sehinggalah sekarang. Maka sewajarnya umat yang mencintai para ulama salaf seperti beliau, memelihara segala wasiatnya dan tidak mengkhianatinya. 

Semoga Allah sentiasa memberi limpahan rahmat kepadanya dan kepada kita sekalian dengan berkat ilmunya. Amin!

Rujukan:

[1] Lihat: الرسالة Hlm. 7 - 8. Tahqiq dan syarah Ahmad.
[2] Lihat: الرسالة Hlm. 6. Tahqiq dan syarah Ahmad.
[3] Lihat: الرسالة Hlm. 6. Tahqiq dan syarah Ahmad.
[4] Lihat: الرسالة Hlm. 6. Tahqiq dan syarah Ahmad.
[5] Lihat: الرسالة Hlm. 6. Tahqiq dan syarah Ahmad.
[6] Lihat: الرسالة Hlm. 5. Tahqiq dan syarah Ahmad.
[7] Lihat: الرسالة Hlm. 7. Tahqiq dan syarah Ahmad.
[8] Makna taqlid ialah: (1). الرجوعُ الى قولٍ لا حجة لقائله عليه "Taqlid ialah: kembali kepada qaul (pendapat) yang mana (orang yang memberi pendapatnya) tidak ada hujjah di atas qaulnya". (2). التقليد هو قبولُ قَولَ القائل وانت لا تعلم من اين قاله "Taqlid ialah: Menerima perkataan seseorang sedangkan engkau tidak tahu dari mana (ia mengambil) perkataannya".
[9] Lihat: جامع البيان العلم وفضله Jld. 1. Hlm. 91. Abu 'Umar Yusuf bin Abdulbar an-Namri al-Qurtubi.
[10] Lihat: اعلام الموقعين (17) Ibn Qaiyyim al-Jauzi.
[11] Lihat: اعلام الموقعين (17) Ibn Qaiyyim al-Jauzi.
[12] Lihat: تفسير الالوسى (10/84).
[13] Lihat: الاعتصام jld. 2. Hlm. 359. As-Syatibi. Makkah al-Mukarramah.
[14] Lihat: مسائل الامام احمد Diriwayatkan oleh Abu Daud. Hlm. 277.
[15] Lihat: الاحكام فى اصول الاحكام Jld. 6. 118. Abu Ali Bin Hazam al-Andulusi az-Zahari.
[16] Lihat: هل المسلم ملزم باتباع مذهب معين من المذاهب الاربعة Hlm. 70. Muhammad Sultan al-Maksumi.
[17] Lihat: البدعة تحديدها وموقف الاسلام منها Hlm. 160. Dr. Izzat Ali 'Atiah. Darul Kitab al-Arabi. Lebnon.
[18] Lihat:الباعث على انكار البدع والحوادث Hlm. 12. Abi Syamah as-Syafie.
[19] Lihat: الحاوي Jld. 1. Hlm. 539. as-Syuyuti. Tahqiq Muhammad Muhyiddin Abdul Hamid. Terbitan at-Tijariyah.
[20] Lihat: (1). اللمع فى الرد على محسني البدع Hlm. 36. Abdul Qayyum bin Muhammad bin Hashir as-Sahaibani. (2). مناقب الشافعى Jld. 1. Hlm 469. (3). الباعث على انكار البدع والحوادث Hlm. 94. Syihabuddin Abu Muhammad Abdulrahman bin Ismail (lebih dikenali dengan laqab) Abu Syamah.
[21] H/R Muslim.
[22] Lihat: فتاوى أئمة المسلمين Jld. 1. Hlm. 138. Mahmud Khatab as-Subki. Al Istiqamah.
[23] Lihat: اللمع فى الرد على مُحَسِّني البدع Hlm. 37. Abdul Qayyum bin Muhammad bin Nashir as-Sahaibani.
[24] Al-Maidah, 5:3.
[25] H/R Ahmad (24840). Bukhari (2499). “Raddun (رَدٌّ) bererti bid’un (bid’ah) sebagaimana yang dijelaskan oleh Ali Hasan dalam bukunya Usul al-Bid’ah”.
[26] H/R Bukhari.
[27] Lihat: اللمع فى الرد على محسني البدع Hlm. 38.
[28] Lihat: اللمع فى الرد على محسني البدع Hlm. 38.
[29] Lihat: اللمع فى الرد على محسني البدع Hlm. 39.
[30] Lihat: اللمع فى الرد على محسني البدع Hlm. 39.
[31] Lihat: المجموع Jld. 1. Hlm. 63.
[32] Lihat: سير اعلام النبلاء Jld. 10. Hlm. 34
[33] Lihat: (1). اَلاَحْكَام فى اصول الاحام Jld. 1. Hlm. 145. Abu Ali bin Hazam al-Andulusi. (2). جامع بيان العلم وفضله Jld. 1. Hlm. 147. Abu 'Umar Yusuf bin Abd al-Barr al-Qurtubi. (3). الفتاوى Jld. 1. Hlm. 147.
[34] Lihat: مناقب الشافعى Hld. 1. Hlm. 413.
[35] Lihat: شرح اصول الاعتقاد اهل السنة والجماعة Jld. 2. 701. Abul Qasim Hibatullah bin al-Husin at-Tabary al-Lalakaii. Tahqiq Ahmad Sa'ad Hamdan. Dar Taiyibah. Riyad. Saudi Arabia.
[36] Dikeluarkan oleh Abu Daud (4691). Bab al-Qadar.
[37] Lihat: Sunnah Dan Syiah, Mungkinkah Dipertemukan? Hlm. 57. Dr. Abdullah Muhamma Gharib. Edisi pertama. Surabaya. l984.
[38] Lihat: صفة العلو Ibn Qudamah. Hlm. 124.
[39] Lihat: مناقب الشافعي Jld. 1. Hlm. 387. Al-Baihaqi.
[40] Lihat: شعار العلم النبلاء Az-Zahabi. Tahqiq Syu'aib. Muassasah ar-Risalah.
[41] H/R Muslim (3/62). Abu Daud, Ahmad, Nasaii, Turmizi dan selain mereka.
[42] H/R Abu Daud No 492. Darimi (1/322) Ibnu Majah No 745. Ahmad,Turmizi, Hakim dan Ibn Hibban.
[43] H/R al-Bazzar
[44] H/R Muslim (3/63). Abu Daud No. 3225-3226) Ahmad (3/295, 332, 339, dan 399). Diriwayatkan juga oleh Turmizi dan Hakim.
[45] Lihat: al-Umm. Jld. 1. Hlm. 207.
[46] Lihat: al-Umm. Jld. 1. Hlm. 207.
[47] Lihat: al-Umm. Jld. 1. Hlm. 207.
[48] Lihat: صلاة العيدين فى المصلى هى السنة Hlm. 27. Nasruddin Al-Albani. Maktabah al-Islami. Beirut. Cetakan Kedua. 1406H-1986M.
[49] Lihat: صلاة العيدين فى المصلى هى السنة Hlm. 27. Nasruddin Al-Albani. Maktabah al-Islami. Beirut. Cetakan Kedua. 1406H-1986M.

No comments:

Post a Comment